Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 19 Mei. - Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam memaklumkan bahawa, pada menjunjung kurnia Instrumen Kuasa Penuh daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku wakil Negara Brunei Darussalam (NBD) kepada ASEAN Ministerial Meeting on Environment (AMME) telah menandatangani Instrumen Ratifikasi bagi meratifikasi Perjanjian Penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ASEAN Centre for Climate Change - ACCC).
ACCC merupakan inisiatif rantau ASEAN bagi penubuhan sebuah pusat perubahan iklim yang akan berpusat di NBD, yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama serantau antara Negara-negara Anggota ASEAN dan organisasi antarabangsa serta untuk menerbitkan cadangan dasar untuk menangani perubahan iklim dengan lebih baik.
Pusat berkenaan akan menyumbang kepada sebuah rantau ASEAN yang lebih bersepadu dan berkesan dalam menangani perubahan iklim bersama rakan-rakan antarabangsa, di samping menyokong matlamat perubahan iklim Negara-negara Anggota ASEAN masing-masing, dalam sama-sama mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan meningkatkan kedayatahanan serantau terhadap impak negatif perubahan iklim pada masa hadapan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan telah menandatangani Perjanjian Penubuhan berkenaan pada 23 Ogos 2023 di samping mesyuarat ASEAN Ministerial Meeting on Environment yang Ke-17 di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao. Seterusnya pada 10 Februari 2025, perjanjian berkenaan juga ditandatangani oleh 10 Negara Anggota ASEAN.
Dalam usaha NBD untuk meratifikasi perjanjian berkenaan, Instrumen Ratifikasi yang telah ditandatangani Yang Berhormat Menteri Pembangunan pada 20 April 2026 dan diserahkan kepada Sekretariat ASEAN sebagai langkah terakhir. Pada masa ini, perjanjian berkenaan dalam proses ratifikasi oleh Negara-negara Anggota ASEAN yang lain, yang mana setelah genap 60 hari selepas Negara Anggota ASEAN yang keenam menyerahkan Instrumen Ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN, perjanjian berkenaan akan berkuat kuasa sekali gus membolehkan pusat berkenaan ditubuhkan sepenuhnya.
Penandatanganan Instrumen Ratifikasi berkenaan menandakan komitmen NBD selaku tuan rumah dalam melaksanakan dan menyokong penubuhan ACCC serta bagi persiapan dalam menubuhkan Rang Undang-undang Pelaksanaan untuk memberikan keistimewaan dan kekebalan kepada ACCC serta autonomi yang setaraf dengan kemudahan yang diberikan kepada misi-misi diplomatik di NBD.
Bagi menyokong pusat berkenaan, NBD telah menyumbangkan sebanyak USD1.5 juta untuk menampung operasi pusat tersebut selama tiga tahun pertama selepas penubuhannya. Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim NBD, Pejabat Perubahan Iklim NBD akan terus memainkan peranan utama dalam menyokong penubuhan ACCC dan seterusnya menyeru Negara-negara Anggota ASEAN yang lain untuk meratifikasi Perjanjian Penubuhan ACCC.